Sumber dari KOSMO
Empayar cinta Azlina, Stapa
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my
Empayar cinta Azlina, Stapa
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my
MASUK
ke pekarangan kediaman milik pasangan ternama Datuk Stapa Omar dan
Datuk Azlina Che Abdullah, kaki seperti berpijak di 'sebuah kerajaan
kecil' yang paksinya dibina atas nama cinta.
Kenapa
cinta? Sengaja istilah yang dikatakan 'keramat' itu saya gunakan kerana
saya percaya cintalah antara kekuatan kepada pasangan ini untuk
merentas dan menuruni setiap lembah yang menghalang laluan mereka,
selama mahu sampai ke tahap ini.
Tanpa menyangkal segala falsafah yang menjadi makanan harian sehingga
bergelar jutawan hasil bisnes yang diceburi, dua insan yang saling
melengkapi ini diajak bersantai tanpa fail unjuran pendapatan ataupun
sasaran keuntungan.
Selain bisnes, mereka juga seperti pasangan suami isteri lain yang
bertemu, saling menyintai, menyimpul kasih dan berkahwin. Kemudian
beranak-pinak, berdepan asam garam rumah tangga dan mengurus hubungan
dengan bijak agar keluarga serta periuk nasi berjalan seiring.
Kali ini bukan metodologi syarikat jualan langsung bumiputera terkenal
D'Clasicc Life (DCL), D'Navechee, DAS Travel, Nasi Dagang Ulik Mayang
atau DCL Manufacturing yang dihitung mengisi bicara. Sebaliknya, Azlina
dan Stapa diajak berkongsi ruang hati, tentang cinta dan kasih yang
mengikat dua hati menjadi satu.
Mereka lahir daripada budaya dan latar belakang yang hampir sama.
Seorang dari Kemaman, Terengganu dan seorang lagi dari Pasir, Mas,
Kelantan. Lebih nostalgik, Azlina dan Stapa, masing-masing asalnya anak
orang miskin yang perlu bersengkang mata untuk sesuap nasi.
Si isteri, gadis kematian bapa. Ibunya hanyalah seorang penjual kuih
tradisional manakala si suami pula anak yatim piatu yang tiada harta
warisan keluarga. Ketika muda, mereka habiskan waktu dengan bekerja,
tiada masa untuk bercinta.
Pastinya detik temu lebih dua dekad lalu juga berlangsung ekoran kerja
bisnes, cuma di mana dan bagaimana, momen itu hanya dirasai Azlina, 42,
dan Stapa, 49.
"Saya jenis yang tak bergaul sangat dengan budak lelaki sejak dari
sekolah lagi, itu yang diajarkan oleh arwah bapa saya sampailah saya
jumpa Datuk.
"Kami terjumpa buat pertama kali masa ceramah motivasi jualan langsung.
Dulu masa mula-mula jumpa, saya tak tertarik pun dengan Datuk S. Tapi
lama-kelamaan, sebab dah selalu jumpa, bercakap dan dengar ceramah
motivasi perniagaan oleh dia, mulalah timbul rasa kagum," luah Azlina
sambil senyum merekah di bibirnya.
Soalan yang sama diajukan kepada sang suami dan lelaki berusia 49 tahun ini mula bermadah kata.
"Kiranya saya ini jatuh cinta pandang pertama tapi perkara itu tak
mungkin terjadi kalau Datuk A (panggilan si suami terhadap Azlina yang
bergelar 'Datuk') tak cantik. Dah tentu kerana saya tertarik dengan
kecantikannya," beritahu Stapa berseloroh.
Tambah Stapa dengan segugus pujian: "Saya pula bukanlah tampan, tapi
manisnya ada. Dia pula ada kecantikan yang saya cari, cantik yang
menzahirkan kebijaksanaan. Tapi memandangkan saya ini anak yatim piatu
dan tidak ada apa-apa, saya kena buktikan sesuatu untuk menawan hatinya.
Percaturan Stapa memilih isteri yang cantik dan bijaksana membuahkan
hasil. Kini Azlina bukan setakat rakan kongsi, bahkan wanita ternama
yang memiliki perusahaan sendiri dan dicemburui ramai wanita lain.
AZLINA bersama tiga daripada lima permata hati yang menceriakan hidupnya dan Stapa.
Bagi Azlina, walaupun beliau bergelar 'Datuk' dan boleh berbangga dengan
pencapaian peribadi, itu bukan alasan untuk bermegah atau meminggirkan
suara suami dalam semua segi, khususnya berhubung kekeluargaan.
Tiada juga istilah makan hati atau merajuk kerana sepanjang berkahwin, suamilah orang yang paling sensitif berbanding dirinya.
"Sikap suka meminta maaf dan memaafkan orang lain menjadi amalan kami
suami isteri yang turut diajar kepada anak-anak, malah juga diterapkan
di kalangan kakitangan kami dan pengedar.
"Saya juga amalkan pendekatan mengalah dan tidak sesekali mengecilkan
hati suami di rumah ataupun di pejabat. Saya juga bukan jenis yang cepat
makan hati kerana saya faham sangat lelaki ada ego tersendiri dan kalau
saya sendiri tidak mampu nak mengubah apa-apa, saya kena gunakan
saluran lain untuk luahkan idea saya. Itu kalau urusan DCL tapi untuk
perniagaan saya, D'Navechee, 100 peratus keputusan di tangan saya,"
jelas Azlina berterus terang.
Mengorek rahsia keharmonian hubungan mereka yang sering tercabar dek
kesibukan urusan perniagaan, Azlina memberi petua. Kelembutan wanita itu
pencair kepada kekerasan lelaki.
"Saya tak boleh tidur kalau suami tak bercakap atau bermasam muka. Kalau
siang hari saya tak berjaya memujuknya, saya akan gunakan waktu malam
sebaik-baiknya. Setiap malam kami tidur berpegangan tangan. Dari situ
pautan kasih sayang akan bertambah erat.
"Paling penting kita kena kembali kepada didikan agama. Isteri yang
tidak bercakap dengan suami lebih daripada tiga hari akan dilaknat oleh
malaikat. Saya pilih buat yang terbaik kepada suami kerana syurga
terletak di bawah telapak kaki suami," kata Azlina.
Ibarat ular menyusur akar; kata Azlina, kehebatan seseorang wanita itu tidak akan luak jika beralah kepada suami.
SESIBUK mana sekalipun, Stapa dan
Azlina rajin mencuri waktu bersantai. Kalau tidak bersama anak-anak,
mereka akan berdua-duaan menikmati panorama indah dan menyedut udara
segar di halaman rumah.
Hubungan mana yang tidak bergoncang dengan masalah, suami isteri mana
yang tidak pernah bergaduh dan perkahwinan mana yang tidak ditimpa
gelora, begitu juga dengan pasangan jutawan ini.
Untuk bercakap tentang kesukaran dan cabaran yang telah ditempuhi bersama pula, hanya 'mati' belum mereka rasai.
"Kalau nak cerita dah jadi Hikayat 1001 Malam jadinya. Di sebalik
kesukaran itu ada kesenangan, cuma kesenangan tersebut terselindung.
"Orang selalu tanya saya berapa banyak aset milik saya ketika ini. Saya
kata aset ini semua hanyalah lima peratus daripada keseluruhan aset yang
saya ada. Semua terkejut! Tapi saya cakap, 95 peratus lagi aset saya
ialah air mata darah yang telah tumpah.
"Kami pernah dihalau keluar rumah kerana 10 bulan tak bayar sewa, kereta
kena tarik, diisytiharkan bankrap dan pernah dihalau dari bangunan
diduduki sekarang kerana bangunan itu dibeli oleh orang lain. Ketika itu
kami ibarat berada di tengah lautan dan di sekeliling kami ada tsunami.
Waktu itu, saya hanya ada dia dan dia ada saya, itu sahaja," getus
Stapa, larut seketika dalam memori getirnya.
Isteri adalah kekuatan suami dan suami pula kekuatan si isteri, ini
antara pelajaran yang boleh dikutip daripada kisah lampau pasangan
berhati waja ini.
Kata pasangan ini, gantungkanlah impian setinggi bintang, kalau jatuh
sekalipun ia tersangkut di atas awan. Rendahkan hati kita serendah
mutiara di dasar lautan, seandai timbul sekalipun, ia akan tersangkut di
antara batu karang.
No comments:
Post a Comment